Pages

Social Icons

Friday 11 January 2013

Allah Maha Besar

Allah bukanlah sesuatu yang  asing dari diri kita. Kita kenal dan sangat rapat dengan Allah sebelum lahir ke bumi ini. Allah ialah nama dan gelaran untuk menamakan kuasa yang telah mencipta diri kita, manusia, binatang, segala kehidupan lain, bumi , matahari, bulan, planet-planet lain, dan segala-galanya di alam galaksi dan ruang angkasa.
Allah bukanlah Tuhan bagi kaum Arab atau pengikut agama Islam sahaja. Allah ialah gelaran bagi sebuah kuasa mutlak yang ujud sebelum segala-galanya dan tetap ujud selepas segala-galanya berakhir. Semua golongan manusia yang hidup di seluruh dunia kenal dan percaya tentang kewujudan kuasa tersebut, tetapi malangnya kebanyakan dari mereka salah tafsir tentang kuasa itu mengikut kepercayaan dan kefahaman mereka sendiri.

Dia lah Yang Awal dan Yang Akhir; dan Yang Zahir serta Yang Batin; dan Dia lah Yang Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Al-Hadid: 3)

Tuhan yang maha berkuasa itu tidak semestinya digelar dengan nama Allah sebaliknya boleh juga digelar dengan nama-nama yang suci dan terbaik. Dalam setiap kepercayaan Allah digelar dengan pelbagai nama dan gelaran mengikut bahasa dan bangsa masing-masing. Semua agama dan bangsa percaya dengan kewujudan Tuhan tetapi yang menjadi masalah sekarang hanyalah bahasa; Tuhan yang sama apabila digelar Allah ia akan menjadi Tuhan kaum Muslim, apabila digelar “Shiva” ia akan menjadi Tuhan kaum Hindu, apabila digelar “Lord” ia akan menjadi Tuhan kaum Kristian.
Kenapalah ramai dari kita yang tidak faham “water”, “sui”, “tannir”, “pani” dan air adalah benda yang sama dan hanya bahasanya yang berbeza. Kita perlu faham satu perkara yang sangat penting; Allah hanya layak digelar dengan nama-nama yang suci dan indah sahaja, Jikalau anda terbayang atau teringat sesuatu benda, gambar, patung atau ciptaan Tuhan;maka nama itu tidak layak digunakan sebagai nama Tuhan.

Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu… (Al-A’raaf: 180)

Apa yang telah Allah SWT mencipta?
Apa yang kita kenal dalam ciptaan Allah, hanyalah diri kita, ahli keluarga, manusia-manusia lain, binatang, kehidupan-kehidupan lain yang terdapat di bumi ini. Pernakah anda melihat langit pada waktu malam yang gelap-gelita? Jika jawapannya ia, Anda pasti dapat melihat beribu-ribu kumpulan bintang di langit, setiap bintang itu berpuluh dan beratus kali lebih besar dari bumi kita.

Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu:” Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui”. (Az-Zukhruf: 9)

Untuk pengetahuan anda, Kita sedang hidup di atas muka bumi yang terletak dalam sebuah sistem suria yang merangkumi sembilan buah planet. Beribu-ribu sistem suria terdapat di ruang  galaksi kita dan terdapat lagi beribu-ribu lagi galaksi seperti itu dan banyak lagi yang tidak dapat kita fikirkan.  Jika kita cuba bandingkan bumi kita ini dengan segala ciptaan Allah SWT, bumi kita ini hanyalah sebesar sebutir pasir yang terdapat di tepi laut. Apakah saiz kita jika dibandingkan dengan segala ciptaan Allah?.

“Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh petala langit bertingkat-tingkat, (Nooh: 15)

Cuba anda fikirkan mampukah dewa-dewa, pokok, patung, lukisan, benda-benda yang disembah berhala sebagai Tuhan mampu mencipta semua ini?. Walau seekor lalat sekalipun tidak dapat mereka ciptakan. Apakah salahnya jika kita menyembah Allah yang maha berkuasa, mampukah kita membalas kasih sayang Allah dengan cara yang lebih baik daripada menyembah kepadanya?.

Dan demi sesungguhnya, kamu telah sedia mengetahui tentang ciptaan diri kamu kali pertama, maka ada baiknya kalau kamu mengambil ingatan (bahawa Allah yang telah menciptakan kamu dari tiada kepada ada, berkuasa membangkitkan kamu hidup semula pada hari akhirat kelak). (Al-Waaqia: 62)

Sesungguhnya pada langit dan bumi terdapat tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman. (Al-Jaathiya: 3)


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...